Sunday, March 28, 2010

JATI DIRI DAN SEJARAH PERJUANGAN BANGSA MELAYU


MEMAHAMI SEJARAH PERJUANGAN BANGSA
• Di Tanah Melayu, ketuanan atau kedaulatan kerajaan Melayu wujud sejak lebih dari 500 tahun yang lampau apabila Melaka di buka oleh Parameswara. Cabaran pertama datangnya ketika Melaka diserang oleh angkatan Siam pada 1447. Ketika itu Melaka diperintah oleh Sultan Muzaffar Shah. Angkatan Siam ini dapat dikalahkan. Sebelum ini Siam telah pernah menggugat Melaka sejak zaman pemerintahan Parameswara lagi. Kedudukannya yang baik dan kekayaan sumber alamnya menyebabkan Tanah Melayu sentiasa menjadi rebutan kuasa-kuasa asing.


Pedagang Eropah berniaga rempah ratus dan lada hitam di Tanah Melayu dan kerana rempah ratus dan lada hitam ini juga mereka menjajah Tanah Melayu. Pada tahun 1509, pedagang Portugis mula datang ke Melaka dan sambil berdagang, mereka menggugut Sultan dan kerajaan Melayu Melaka. Dan apabila Portugis mula menyerang Melaka, Hang Tuah pernah berkata ‘Takkan Melayu hilang di dunia’. Namun, sepuluh hari selepas itu, Melaka ditawan oleh Portugis pimpinan Alfonso d’Albuquerque. Sejak hari itu, bermulalah episod penjajahan dan penghakisan ketuanan Melayu di Tanah Melayu.

Penghakisan ini berlanjutan dan silih berganti antara Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun selama lebih 450 tahun. Kesultanan Melayu Melaka hanya wujud selama 110 tahun sahaja dan kerajaan Melayu yang lain di alam Melayu tidak berupaya melawan kuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Penjajahan Portugis menyebabkan Hang Tuah hilang dan pengantinya tidak muncul-muncul sehinggalah lahirnya Dato’ Onn Jaafar, anak kelahiran Johor yang mengasaskan penubuhan UMNO.

Pada masa penjajahan Inggeris, penguasaan dan penghakisan ketuanan Melayu berterusan melalui Perjanjian Pangkor dan Sistem Residen. British memecah belahkan ketuanan Melayu melalui kewujudan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat. Penglibatan orang-orang Melayu dalam perniagaan khususnya dalam perlombongan bijih timah turut disekat. Orang-orang Cina dan India pula dibawa masuk dengan ramainya. Ada di kalangan orang Melayu mula memberontak. Pada November 1875, Birch dibunuh di Pasir Salak. Pembunuhan Birch telah mengubah sikap Inggeris terhadap orang Melayu di Tanah Melayu.

Inggeris menyedari bahawa orang Melayu juga mempunyai potensi untuk menentang kuasa mereka menggunakan kekerasan. Nama-nama seperti Mat Kilau, Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Ngah Ibrahim, Dol Said, Datuk Siamang Gagap, Haji Abdul Rahman Limbong dan lain-lain lagi merupakan pejuang Melayu yang menunjukkan penentangan terhadap Inggeris.

Apabila Perang Dunia Kedua pula meletus, maka Tanah Melayu sekali lagi dijajah oleh Jepun. Dan setelah Jepun tewas, belum pun sempat orang Melayu menyusun pentadbiran dan memulihkan ketuanan kerajaan Melayu, Tentera Bintang Tiga atau MPAJA yang kebanyakan anggotanya terdiri daripada orang-orang Cina pula menguasai Tanah Melayu. Di Batu Pahat dan Muar, Johor, orang Melayu menyambut kehadiran tentera Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) dengan menubuhkan pasukan parang panjang yang dipimpin oleh Kiyai Salleh.

• Semasa kekacauaan Bintang Tiga ini, maka datang pula penjajah Inggeris yang dulunya gagal mempertahankan Tanah Melayu dari serangan tentera Jepun. Penjajahan semula Inggeris datang bersamanya usaha menubuhkan Malayan Union oleh Sir Harold MacMichael pada Ogos 1945. Seperti yang pelajar sedia maklum, Malayan Union ini ditentang oleh orang-orang Melayu. Penentangan ini kerana orang-orang Melayu sedar Malayan Union bertujuan untuk menyisih dan menghapuskan orng-orang Melayu dari Tanah Melayu.

Apabila penjajah Inggeris mengadakan Majlis Perlantikan Gabenor Malayan Union, orang-orang Melayu telah mengadakan Kongres Melayu yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar di Kuala Lumpur yang bertujuan untuk menentang gagasan Malayan Union. Kesan kongres ini maka majlis perlantikan Gabenor Malayan Union tersebut telah dipulaukan oleh Raja-Raja dan Pembesar Melayu atas permintaan rakyat Melayu yang diketuai oleh Dato' Onn Jaafar.

• Gagasan Malayan Union yang memusuhi Melayu ini telah menyedarkan mereka akan nasib masa depannya yang gelap. Peristiwa ini telah membantu menyatukan mereka buat kali pertamanya sejak kejatuhan kerajaan Melayu Melaka. Pada 1 Mac 1946, orang-orang Melayu telah mengadakan Hari Perpaduan Melayu di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur. Mereka melaungkan slogan ‘Hidup Melayu’. Dan pada 11 Mei 1946, orang-orang Melayu telah mengadakan perhimpunan di Istana Besar Johor Bahru yang membawa kepada penubuhan PEKEMBAR. Dengan itu maka tertubuhlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan kemerdekaan Tanah Melayu. Dengan itu, bermulalah usaha bagi memerdekakan Tanah Melayu selepas dijajah selama lebih 450 tahun.

Usaha mendapatkan kemerdekaan dimulai dengan penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1948), yang melibatkan Raja-Raja Melayu, pemimpin Melayu dan pegawai-pegawai Inggeris. Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1948) ini dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar.

Pada tahun 1948 juga turut menyaksikan penentangan Parti Komunis Malaya di Tanah Melayu dan dengan ini bermulalah episod perjuangan orang-orang Melayu mempertahankan ketuanan Melayu dari serangan Parti Komunis Malaya. Penentangan ini memakan korban yang ramai di kalangan askar dan polis Melayu. Antara contoh pengorbanan ini ialah Peristiwa Bukit Kepong dimana pada 23 Februari 1950, seramai 250 orang tentera Parti Komunis Malaya menyerang Balai Polis Bukit Kepong, di Hulu Muar. Mereka membunuh kesemua pegawai polis Melayu yang bertugas, isteri dan anak-anak mereka.

Beberapa orang awam juga turut terbunuh. Kesemua yang mati ialah 25 orang (19 anggota polis, 2 isteri polis dan 2 anak keluarga polis. Empat orang anggota polis yang terselamat mengalami cedera parah. Anggota polis dibantu oleh Penghulu Ali dan anak-anak buahnya serta kesemua isteri anggota polis tersebut. Begitulah kentalnya perjuangan orang-orang Melayu menentang penjajahan Inggeris dan komunis di Tanah Melayu. Kekentalan inilah yang menjadi pendorong kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Berkat kepimpinan pemimpin Melayu, maka orang Melayu telah mulai mengecapi nikmat kemerdekaan. Selepas dicabar dengan gagasan Malayan Union, pemimpin Melayu mula menunjukkan kebijakan dalam politik dan perjuangan. Kekentalan semangat Dato Onn Jaafar telah berjaya menolak gagasan Malayan Union. Usaha dan diplomasi Tunku Abdul Rahman pula telah membolehkan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Manakala kebijaksanaan dalam kepimpinan Tun Abdul Razak pula, membolehkan Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan. Tun Abdul Razak telah melaksanakan transformasi dan pembangunan masyarakat Melayu dengan jayanya.

Pada masa Tun Hussein Onn pula, perancangan pembangunan perindustrian telah diberi penekanan. Pada masa pentadbiran Tun Mahathir Mohamad pula, pemodenan bangsa Melayu telah diperhebatkan. Kelas menengah Melayu telah bertambah dengan ketara. Bilangan profesional dan korporat Melayu semakin ramai. Dan apabila Pak Lah mengambilalih kepimpinan negara, beliau memantapkan perencanaan bagi menguruskan kejayaan dan berusaha untuk membawa Malaysia dan orang Melayu ke mercu kejayaan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Jelas bahawa ditangan kita sendiri, bangsa Melayu berupaya menguruskan negara jauh lebih baik dari penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Dalam tempoh 48 tahun sahaja, wajah Malaysia telah berubah dari sebuah negara pertanian kepada sebuah negara berteknologi tinggi.

Di bawah Wawasan 2020, kita mempunyai sekitar 12 tahun lagi untuk membawa Malaysia ke tahap negara maju. Wawasan 2020 inginkan supaya negara kita membangun dengan lebih pesat dalam segala bidang dan rakyatnya hidup selesa, aman dan damai. Wawasan ini akan tercapai jika kita sentiasa berhati-hati dalam membuat pemilihan serta keputusan berdasarkan pengetahuan sejarah bangsa kita.

Namun semua ini hanya akan kekal impian semata-mata jika orang Melayu berpecah dan lemah yang akan menyebabkan nasib dan masa depan anak-anak Melayu tidak terjamin. Dalam kita merancang untuk masa depan, suka saya mengingatkan kepada generasi muda bahawa perjuangan bangsa Melayu merupakan sebahagian daripada pengetahuan sejarah. Pengetahuan ini mungkin kita pelajari untuk lulus perperiksaan, namun ini tidak mencukupi. Para pelajar perlu menghayati sejarah perjuangan ini kerana memahami sejarah perjuangan Melayu boleh membantu kita mempertahankan jatidiri (identiti) serta menjana kekuatan kita sendiri

Pada 1948, mungkin orang Melayu masih belum terfikir apakah impian mereka untuk membangun dari segi ekonomi akan menjadi kenyataan. Pada hari ini, kita yakin berkat perpaduan orang-orang Melayu, maka kita mempunyai masa depan yang cerah. Perjuangan membangunkan bangsa Melayu masih belum selesai dan sekiranya kita tidak menyelesaikannya, maka kita sebenarnya mengkhianati perjuangan yang diasaskan oleh Dato Onn Jaafar dan pemimpin-peminpin terdahulu daripada kita.

Dalam kedudukan hari ini, selepas PRU12, kita menyaksikan penghakisan kuasa politik orang-orang Melayu. Di Perak, walaupun orang Melayu adalah Menteri Besar tetapi majoriti ahli Exco adalah dari DAP. Perlu ditegaskan bahawa pada tahun 1969 DAP menjadi pencetus Peristiwa 13 Mei dan mencabar dengan begitu hebat ketuanan Melayu. Hari ini cabaran tersebut berulang semula.

No comments:

Post a Comment

Post Your Comment Here..